25/2/2013
6:52PM
PANTAI DAYTONA, Florida - Satu kemalangan
dahsyat menyebabkan kereta pelumba Kyle
Larson melambung ke udara dengan serpihan
mengenai tempat duduk penonton dan
mencederakan berpuluh-puluh orang pada
perlumbaan pembukaan kereta NASCAR di Litar
Antarabangsa Kelajuan Daytona di sini
kelmarin.
Presiden Litar Antarabangsa Daytona,
Amerika Syarikat (AS), Joie Chitwood berkata,
seramai 28 penonton cedera dalam insiden
tersebut dengan 14 mangsa dibawa ke beberapa
buah hospital tempatan.
Menurutnya, seramai 14 mangsa lain dirawat
di
sebuah kemudahan perubatan di litar tersebut.
Menurut Chitwood, beliau tidak dapat
mengesahkan tentang laporan bahawa sekurang-
kurangnya dua orang parah dalam kejadian itu.
"Adalah tidak wajar untuk saya mengulas
tentang perkara tersebut," kata Chitwood pada
satu sidang akhbar di litar itu tiga jam
selepas kemalangan berlaku.
Pelbagai laporan media menyatakan angka
kecederaan nahas tersebut melebihi 30 orang.
Stesen televisyen ESPN melaporkan seorang
penonton dewasa mengalami trauma manakala
seorang remaja berusia 14 tahun mengalami
kecederaan kritikal tetapi tidak mengancam
nyawanya.
Kemalangan berlaku apabila kereta Regan Smith
dirempuh ketika beliau cuba menghalang
pelumba-pelumba lain untuk memotongnya.
Perlanggaran tersebut menyebabkan kereta
Larson melambung ke pagar yang memisahkan
litar dengan tempat duduk penonton.
"Saya dilanggar dari belakang dan tidak sempat
untuk berbuat apa-apa," kata Larson selepas
keluar dari kereta lumbanya yang remuk.
Semua pelumba yang terlibat dalam kemalangan
tersebut tidak cedera.
Seorang pelumba, Michael Annett dimasukkan ke
hospital kerana dadanya hanya tercalar dalam
kejadian itu. - AFP/http://myblogsantai.blogspot.com